Site Navigation
订阅《华总快讯》!
Majlis Perasmian Pesta Kebudayaan Cina Malaysia Kali Ke-27 Teks Ucapan Yang Berbahagia Tan Sri Pheng Yin Huah Presiden Hua Zong pada 06/11/2010 (Terjemahan Dari Mandarin)
Majlis Perasmian Pesta Kebudayaan Cina Malaysia Kali Ke-27
Teks Ucapan Yang Berbahagia Tan Sri Pheng Yin Huah
Presiden Hua Zong pada 06/11/2010 (Terjemahan Dari Mandarin)
1. Salam bahagia dan selamat malam, terlebih dahulu saya suka mengambil kesempatan ini mengalu-alukan semua jemputan, peminat serta penyokong budaya yang datang dari jauh dan dekat. Bagi pihak Hua Zong, saya juga ingin mengambil peluang ini menyatakan rasa terima kasih tidak terhingga kepada wakil Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Perdana Menteri -- YAB Dato’ Haji Abdul Ghani bin Othman, kerana sudi meluangkan masa untuk bersama-sama kita semua. Sesungguhnya kehadiran YAB Dato’ Menteri Besar telah benar-benar menyerikan suasana Majlis.
2. Sepertimana kita semua sedia maklum, Majlis pada malam ini memang menjanjikan penampilan YAB Dato’ Sri Perdana Menteri tetapi malangnya sejak beberapa hari yang lalu, Perdana Menteri yang kita kasihi telah diserang oleh penyakit cacar air (chicken pox). Kami di Hua Zong benar-benar merasa sedih dan tersentak apabila dimaklumkan mengenai peristiwa yang tidak diduga ini. Kami mendoakan agar YAB Dato’ Sri Perdana Menteri dikurniakan segala kekuatan dan kegagahan untuk memulihkan kesihatan beliau. Sebagai menggantikan tempat YAB Dato’ Sri Perdana Menteri, kita dapat sama-sama menyaksikan wajah YAB Dato’ Haji Abdul Ghani bin Othman, Menteri Besar Negeri Johor. Mari kita semua memberikan tepukan sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada beliau.
3. Sejak mengambilalih tampuk kepimpinan negara, YAB Dato’ Sri Perdana Menteri telah membuktikan beliau memang seorang pemimpin yang berjiwa rakyat, suka mendekati rakyat pada masa suka dan duka. YAB Dato’ Sri begitu kerap menjelajah ke seluruh pelusuk negara untuk melihat dan menyemak secara dekat, isu-isu yang boleh membawa kepada ketidakselesaan hidup rakyat. Pada masa yang sama, beliau juga berkali-kali mengunjungi siri program yang dianjurkan oleh pertubuhan-pertubuhan rakyat keturunan Tionghua, khususnya program yang diterajui oleh Hua Zong. Berpandukan rintihan rakyat, YAB Dato’ Sri sentiasa bersedia menambahbaik dan merombak dasar-dasar pemerintahan untuk dipadankan dengan cita rasa rakyat ramai, berlandaskan Gagasan 1 Malaysia. Kami penuh yakin gaya tarikan dan mutu kepimpinan YAB Dato’ Sri Perdana Menteri dapat menyatupadukan rakyat berbilang ke arah mencipta agenda kecemerlangan nasional. Di pihak Hua Zong, kami berjanji secara terbuka untuk sama-sama menyokong dan melengkapkan inisiatif dan transformasi kerajaan demi membina sebuah negara yang aman sejahtera, adil dan progresif tertakluk kepada speksifikasi Gagasan 1 Malaysia.
4. Era pemerintahan YAB Dato’ Sri Perdana Menteri dicirikan oleh dasar-dasar kesederhanaan dan inklusif yang semakin mendapat sambutan ramai tetapi senario politik negara masih menyaksikan segelintir orang yang suka mengungkit-ungkitkan isu-isu yang boleh menerbitkan perpecahan dan pertelingkahan. Hua Zong merasa sedih melihat tingkah-laku segelintir rakyat dan pertubuhan yang masih bertindak reaktif terhadap seruan-seruan kesederhanaan dan inklusif. Hua Zong amat bersetuju dengan pendirian YAB Dato’ Sri Perdana Menteri agar rakyat ramai menyatukan suara dan aksi masing-masing untuk mengujudkan masyarakat yang sentiasa menolak perkauman dan ekstrimism.
5. Pesta Kebudayaan pada malam ini adalah bertemakan “1 Malaysia , Pelbagai Budaya”, sekaligus memperlihatkan komitmen Hua Zong mendokong dan menyokong Gagasan 1 Malaysia. Sebentar lagi, kita akan sama-sama menyaksikan pementasan raksasa oleh lebih 1000 orang peserta berbilang kaum , yang dicipta khas dan dipadankan dengan tema Gagasan 1 Malaysia. Menerusi pementasan raksasa ini, kami bersungguh-sungguh menonjolkan kepelbagaian budaya 1 Malaysia sebagai asas penyatuan dan perpaduan rakyat.
6. Asas pembentukan Malaysia berpunca daripada kesepakatan dan penyatuan pelbagai kaum ketika memperjuangkan agenda kemerdekaan. Bertolak dari titik tanda bersejarah ini, maka sudah tentu ciri-ciri kepelbagaian dan kemajmukan hendaklah diabadikan dalam catitan sejarah. Hua Zong menyokong cadangan Kementerian Pelajaran untuk menubuhkan J/K Khas mengkaji semula kurikulum buku teks sejarah. Dalam hubungan ini, Hua Zong berharap anggota-anggota J/K Khas ini akan dilantik dari kalangan pakar pelbagai kaum, seiring dengan kehendak Gagasan 1 Malaysia. Hua Zong yakin kurikulum sejarah yang lebih seimbang dan inklusif, bukan sahaja mampu melebarkan penerapan Gagasan 1 Malaysia, malah akan menjadi satu daya penyatuan yang tersendiri buat generasi masa depan.
7. Akhir kata tetapi tidak kurang pentingnya, sekali lagi saya bagi pihak Hua Zong, ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada wakil YAB Dato’ Sri Perdana Menteri, YAB Dato’ Haji Abdul Ghani bin Othman kerana sudi melapang masa bersama-sama kita semua. Sekiranya terdapat apa-apa tersasur kata dan tersilap langkah sepanjang berlangsungnya Majlis ini, terimalah permohonan maaf dari kami kerana segala-galanya adalah tidak disengajakan.
Sekian terima kasih.
Highlight |
Activities |
Chairman |
|
No Upcoming Activities |
No Posts |